Definisi Pengangkutan Awam Pengangkutan awam atau transit awam merangkumi segala sistem pengangkutan yang mana penumpang tidak bergerak menggunakan kenderaan sendiri. Meskipun istilah-istilah tersebut secara amnya dianggap sebagai perkhidmatan rel dan bas, definisi yang lebih luas boleh merangkumi perkhidmatan penerbangan berjadual, feri, teksi dan sebagainya. Satu lagi batasan lanjut yang kadang-kadang dikenakan adalah bahawa pengangkutan itu sepatutnya dijalankan dalam kenderaan yang sentiasa dikongsi, maka terkecualinya teksi yang bukan kongsi tumpang. Pengangkutan awam biasanya dikenali sebagai pengangkutan umum dan biasanya diatur untuk menawarkan perkhidmatan berjadual dalam laluan tetap tanpa penempahan. Kebanyakan penumpang transit bergerak dalam lingkungan kawasan tempatan di antara rumah mereka dan tempat kerja, pusat beli-belah atau institusi pendidikan. Jenis Pengangkutan Awam Pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Lembah Klang mernagkumi pelbagai jenis pengangkutan seperti bas, rel dan teksi. kerajaan Malaysia telah berbelanja berjuta-juta ringgit untuk meningkatkan mutu dan kesediaadaan pengangkutan awam di Lembah Klang, termasuk membina aliran LRT baru. Contoh: Bas Pengangkutan rel, termasuk transit aliran ringan (LRT) yang dikendali Rapid KL Aliran Kelana Jaya Aliran Ampang Aliran Sri Petaling KTM Komuter Aliran Sentul-Port Klang Aliran Rawang-Seremban KL Monorail Express Rail Link KLIA Express KLIA Transit Teksi Perkhidmatan antarabandar lain
Sistem Pengangkutan Awam Menjana Pembangunan Negara Di Stockholm, ibu negara Sweden, pemandangan warga kotanya yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer berbasikal ke pejabat adalah perkara biasa. Kenderaan persendirian hanya dilihat menghiasi garaj kerana rata-rata masyarakatnya – selain berbasikal lebih selesa menggunakan pengangkutan awam. Di Shanghai, China pula, kerajaan tempatannya menerapkan elemen penggunaan secara maksimum pengangkutan awam di kalangan warganya. Namun di Malaysia, situasinya sangat berbeza, dengan pengangkutan awam dilihat sebagai sebuah sistem yang beroperasi dengan kurang cekap dan berkesan. Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam bermula daripada kaunter tiket selain perkhidmatan yang pantas, maklumat yang baik, kemudahan tempahan, pilihan laluan serta ketepatan waktu, gagal dijadikan sebagai petunjuk penting bagi menjamin pengguna terus menggunakan pengangkutan awam. Pelbagai isu dibangkitkan saban waktu, antaranya ketidakcekapan pengurusan operasi, keadaan kenderaan awam yang tidak selesa, ketiadaan khidmat pengangkutan awam di kawasan kepadatan penduduk tinggi dan mutu perkhidmatan yang tidak bersifat mesra pengguna, menjadikan kemudahan pengangkutan awam pilihan terakhir bagi pengguna. Namun, dalam menghadapi tekanan akibat kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen yang berkuat kuasa 5 Jun lalu, rakyat terutamanya yang mendiami bandarbandar besar, berusaha mencari pelbagai ruang alternatif untuk berjimatcermat. Keadaan ini tidak memberikan banyak pilihan kepada rakyat, apatah lagi menyedari kesan berantai seiring dengan kenaikan minyak yang secara langsung turut melonjakkan harga barang dan perkhidmatan dalam pasaran. Lantaran menyedari perlunya mengawal perbelanjaan waktu ini, mahu tidak mahu, penggunaan kemudahan awam yang sedia ada seperti bas, komuter, Transit Aliran Ringan (LRT), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), monorel, dan teksi, terpaksa diaplikasikan. LANGKAH PENAMBAHBAIKAN Saranan yang dilaungkan kerajaan bagi menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan jalan raya akan hanya menjadi laungan kosong jika sistem itu tidak diperhalusi dan diperbaiki terlebih dahulu. Sebagai langkah permulaan, satu sistem yang berintegrasi, komprehensif dan tersusun di antara laluan terutamanya monorel, LRT, komuter dan bas perlu diusahakan. Langkah yang diaplikasikan oleh negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun ini telah terbukti kejayaannya. Melalui sistem ini, setiap penumpang dapat turun bas dan pada masa yang sama dapat menggunakan perkhidmatan LRT yang juga terletak di tempat yang sama.
Selain itu, pembabitan terlalu banyak badan yang menyelaras dan mengendalikan pengangkutan awam juga dilihat tidak membantu dalam menjamin kecekapan sistem perkhidmatan awam negara. Bidang kuasa yang bertindih berhubung pengeluaran lesen, pengesanan, pengujian kenderaan dan penguatkuasaan menimbulkan kekeliruan dan menjadi penyebab kepada pelbagai masalah yang timbul. Di bandar-bandar utama seperti London, New York dan Singapura terdapat badan tunggal yang menguruskan pengangkutan awamnya. Malangnya keadaan itu tidak berlaku di Malaysia kerana 13 agensi dan jabatan kerajaan terlibat dalam soal pengangkutan yang akhirnya bukan menyelesaikan tetapi memburukkan lagi masalah. Pengeluaran permit kenderaan komersial misalnya, diletakkan di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Pengeluaran cukai jalan dan penguatkuasaan peraturan jalan raya, dipegang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala perkhidmatan rel dan tren pula di bawah Jabatan Keretapi. Keduadua jabatan ini adalah di bawah Kementerian Pengangkutan. Kemudahan pengangkutan awam seperti perhentian bas, terminal bas, lorong bas pula di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan. Masalah ini turut ditegur Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengakui penyelesaian kepada masalah lalu lintas negara sepatutnya memberikan kelegaan melangkaui tempoh 20 hingga 30 tahun. Tidak hanya sekadar untuk tempoh setahun dua sahaja. Ironinya, sistem perkhidmatan pengangkutan awam sekarang tidak mempunyai data statistik keperluan sebenar bagi pengangkutan awam. Oleh hal yang demikian itu, suatu kajian menyeluruh mengenai operasi pengangkutan awam di negara ini juga menjadi suatu keperluan yang bertindak sebagai rujukan atau penanda aras kepada keberkesanan dan kecekapannya selama ini. Menurut pakar pengangkutan awam, Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor, dengan maklumat yang diperoleh daripada kajian itu, kerajaan akan dapat membina sebuah pangkalan data indeks kualiti industri pengangkutan awam khusus untuk memantau sektor itu secara berterusan. Pangkalan data ini akan mengumpul maklumat terperinci berkenaan sektor pengangkutan selain perlu dikemas kini secara tahunan sebagai rujukan kepada semua pihak termasuk pengguna, pengusaha dan kerajaan. Melalui usaha itu, kerajaan dan syarikat pengusaha dapat memantau operasi perkhidmatan pengangkutan awam mengikut situasi semasa termasuk peningkatan kos ekoran kenaikan harga minyak seperti yang berlaku ketika ini. Menerusi hasil kajian yang sama juga, kerajaan dapat mengenal pasti punca peningkatan kos dan menyalurkan subsidi secara lebih tersusun dan sistematik seterusnya memuaskan hati pengusaha dan pengguna. Sasaran penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2020 daripada hanya 20 peratus pada masa kini, dilihat sebagai langkah permulaan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam negara. Langkah ini bertujuan mengikuti kejayaan negara-negara jiran mengaplikasikan sistem pengangkutan awamnya di mana Singapura sebanyak 56 peratus, Bangkok (30 peratus), Manila (54 peratus), Tokyo (49 peratus) dan Seoul (60 peratus).
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi perbentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), dalam agenda pembangunan negara, telah membentangkan lima Teras Utama Misi Nasional yang mana antara strategi utama teras keempatnya adalah menambah baik kemudahan pengangkutan. Penambahbaikan ini meliputi agenda meningkatkan liputan sistem rel transit bandar di samping memperbanyak terminal pengangkutan awam bersepadu meliputi perkhidmatan komuter, bas, teksi, LRT, ERL dan monorel bagi tujuan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian terutama di kawasan Lembah Kelang. Bagi mencapai maksud tersebut, Suruhanjaya Pengangkutan Awam ditubuhkan bagi merangka Pelan Induk Pengangkutan. Usaha ini termasuk juga di negeri Sabah dan Sarawak yang mana rangkaian jalan rayanya akan diperluas terutama di kawasan pedalaman. Perhatian yang sama turut diberikan di dalam perbentangan Belanjawan tahun 2009. Bertemakan kerajaan prihatin, belanjawan 2009 menumpukan kepada penambahbaikan pengangkutan awam dalam konteks meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup sekaligus membantu pembangunan negara. Peruntukan sebanyak RM35 bilion disediakan bagi perbelanjaan dalam tempoh enam tahun bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina laluan baru, menambah bilangan bas dan menyediakan kemudahan infrastruktur berkaitan. Sistem LRT sedia ada di Lembah Klang akan dipanjangkan sejauh 30 kilometer (km), iaitu masing-masing sepanjang 15 km bagi aliran Kelana Jaya dan aliran Ampang. Dijangka siap pada 2011, seramai 2.6 juta penduduk di sepanjang Koridor Subang Jaya-USJ dan Koridor Kinrara-Puchong akan menikmatinya berbanding 1.9 juta orang pada masa ini. Pembelian 35 set tren aliran Kelana Jaya baru yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2010 juga akan meningkatkan kapasiti penumpang lebih dua kali ganda. Daripada 160,000 penumpang sehari pada masa ini meningkat kepada 350,000 penumpang sehari. Aliran Ampang pula akan mempunyai kapasiti 280,000 penumpang sehari berbanding 150,000 penumpang pada masa ini. Laluan baru dari Kota Damansara ke Cheras iaitu meliputi laluan sepanjang 42km akan turut ditambah. Laluan yang dijangka siap pada 2014, dengan kapasiti melebihi 300,000 penumpang sehari, akan memberi perkhidmatan rel bagi kawasan kediaman, perdagangan dan kewangan Koridor Kota DamansaraCheras yang mempunyai bilangan penduduk lebih sejuta orang. Pengambilalihan aset dan operasi KL Monorail daripada operator swasta pada akhir tahun 2007 turut meningkatkan jumlah penumpang lebih 10 peratus Langkah ini akan menyumbang kepada usaha menjadikan perkhidmatan rel bandar di Lembah Klang lebih berintegrasi. Perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad turut dipertingkatkan. Langkah itu termasuk membaik pulih 20 set ´Electric Multiple Unit (EMU) sedia
ada yang dijangka siap pada 2009. Sejumlah 13 EMU baru juga akan ditambah menjelang 2011. Bagi memperluaskan jaringan perkhidmatan rel komuter, laluan Sentul-Batu Caves sepanjang 7.5 km sedang dibina dan dijangka siap menjelang 2010. Di samping itu, dua projek utama sedang dilaksanakan bagi meningkatkan perkhidmatan KTM, iaitu projek landasan berkembar elektrik Seremban-Gemas, yang dijangka siap pada 2012 dan Ipoh-Padang Besar pada 2013. Terminal pengangkutan bersepadu bagi kemudahan teksi dan bas antara bandar juga akan dibina di Bandar Tasik Selatan. Terminal moden lima tingkat ini mempunyai kapasiti menampung lebih 130 teksi dan 100 bas, kemudahan letak kereta dan ruang komersial, selain berhubung dengan rel aliran Ampang, ERL dan KTM Komuter serta teksi dan bas bandar di Lembah Klang. Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) telah menyaksikan kejayaan dengan pertambahan dalam purata jumlah penumpang bas dan Transit Aliran Ringan (LRT) sejak pengumuman kenaikan harga minyak oleh kerajaan pada 5 Jun lalu. Bagi operasi bas, purata jumlah penumpangnya meningkat sebanyak 7.5 peratus daripada 365,111 kepada 392,654 penumpang sehari manakala bagi LRT, puratanya meningkat sebanyak 3.9 peratus daripada 313,753 kepada 326,095 sehari. Sebagai langkah membantu mengurangkan kos operasi operator pengangkutan awam, kerajaan telah meningkatkan kuota subsidi diesel selain kemudahan pinjaman mudah melalui dana pengangkutan awam. Sebanyak RM3 bilion diperuntukkan di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk membiayai perolehan aset bas dan rel. Bayaran tol juga telah dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan, iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun bermula 15 September 2008. Pengecualian cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam negara dan perbelanjaannya diberi elaun modal turut dipercepatkan. Cukai jalan juga dikurangkan kepada RM20 setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin. Bagi memastikan perhatian khusus diberikan kepada usaha memajukan sistem pengangkutan awam bandar secara menyeluruh, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem perkhidmatan pengangkutan awam. Suruhanjaya ini dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2009. Pengalaman penyelidikan oleh penyelidik dari negara-negara maju telah membuktikan bahawa pengangkutan boleh bertindak sebagai pra-syarat yang penting dalam membangunkan negara. Model yang terbina daripada penyelidikan menunjukkan pengaruh yang positif dan signifikan infrastruktur pengangkutan terhadap pembangunan sosioekonomi sesuatu kawasan, wilayah atau negara. Di Malaysia, penelitian di kawasan luar bandar dan antara bandar, antara lain, oleh Lienbach (1971) dan Abd Rahim Md Nor (1996) menunjukkan perkaitan yang serupa. Menyedari hal ini, langkah kerajaan di dalam Belanjawan 2008 ini
dilihat sebagai langkah yang bijak. Sistem pengangkutan yang baik dan komprehensif bertindak sebagai penjana bagi menarik pelabur asing serta pelancong. Kecekapan dan keberkesanannya, penentu pembangunan suatu bangsa dan negara.
Kenapa Masih Ramai Tidak Menggunakan Pengangkutan Awam Pengangkutan awam penting dalam kehidupan manusia. Perkhidmatan pengangkutan awam yang baik membolehkan pengguna bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan mudah dan selesa. Di negara ini, terdapat beberapa jenis pengangkutan awam. Antara perkhidmatan pengangkutan awam yang popular ialah perkhidmatan bas dan teksi. Sehingga kini, perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia dikatakan masih belum memuaskan hati pengguna. Baru-baru ini, saya sebagai Setiausaha Persatuan Keselamatan Sosial Daerah Pekan diminta untuk menjalankan satu kajian tentang kelemahan tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan untuk mengatasinya. Yang berikut ialah laporan hasil kajian tersebut. Berdasarkan kajian, didapati bahawa jumlah kenderaan awam di beberapa buah bandar di negara ini tidak mencukupi. Di beberapa buah bandar kecil, hanya terdapat satu atau dua buah syarikat bas yang beroperasi. Jangka masa pergerakan antara sebuah bas dengan bas yang lain agak panjang disebabkan masalah kekurangan bas. Keadaan ini menyebabkan pengguna sering berebutrebut untuk menaiki bas agar mereka tidak ketinggalan. Sesetengah penumpang teksi pula sanggup menaiki teksi melebihi muatan yang dibenarkan agar mereka cepat sampai ke destinasi. Selain tidak selesa, tindakan ini boleh membahayakan penumpang. Keadaan fizikal sesetengah kenderaan awam, khususnya bas dan teksi didapati kurang sempurna. Sesetengah kenderaan tersebut tidak terurus dan tidak diselenggara dengan baik. Kusyen beberapa buah bas pula didapati carik dan sesetengahnya tertulis dengan pelbagai tulisan yang berunsur lucah. Kebersihan kebanyakan kenderaan tidak dijaga dengan baik. Sistem pendingin hawa yang digunakan pula kadangkala tidak berfungsi. Keadaan ini
menyebabkan pengguna berasa tidak selesa menggunakan pengangkutan awam. Kajian juga mendapati bahawa kebanyakan pengguna perkhidmatan awam yang ditemui menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tentang kadar tambang yang dikenakan. Kebanyakan pengguna bersetuju bahawa kadar tambang tidak sepadan dengan kualiti perkhidmatan. Menurut pengguna, sesetengah pemandu teksi tidak menggunakan meter yang dipasang dengan alasan alat tersebut rosak. Segelintir kakitangan bas pula didapati kurang sopan apabila berurusan dengan penumpang. Walaupun perkara ini tidak disenangi, namun pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan awam kerana tiada pilihan lain. Kajian ini telah mengenal pasti beberapa kelemahan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Selain kekurangan jumlah kenderaan awam, sikap pengusaha yang terlalu mementingkan keuntungan memungkinkan kenderaan awam tidak terjaga. Kelemahan tersebut dapat diatasi sekiranya pengusaha kenderaan awam memahami bahawa mereka sebenarnya turut melaksanakan tanggungjawab sosial. Sekiranya syarikat kenderaan awam di negara ini dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti, orang ramai juga akan berasa selesa menggunakan perkhidmatan awam yang disediakan. Masalah Pengangkutan Awam Antara masalah-masalah yang sering dialami oleh pengguna pengangkutan awam ialah : 1. Tambang Mahal ~ Sesetengah pengangkutan awam seperti teksi dan LRT mengenakan bayaran yang agak tinggi yang tidak mampu dibayar oleh penumpang. Oleh itu, perkhidmatan teksi dan LRT hanya menjadi pilihan ketika keadaan terdesak seperti hendak ke pejabat dan mengelakkan kesesakan lalu lintas. Tambang bulanan bas/van sekolah juga agak mahal. Contohnya untuk seorang anak, ibubapa terpaksa memperuntukan sebanyak sekurang-kurangnya RM100 sebulan. Bayangkan jika terdapat 3 atau 4 orang anak yang bersekolah, sudah tentu peruntukan untuk bayaran tambang bas/van sekolah mencecah RM500! 2. Kemalangan ~ Pada musim perayaan, kita sering digegarkan dengan kes-kes kemalangan yang menyayat hati yang melibatkan perkhidmatan bas ekspres. Kemalangan ini dapat dielakkan jika pemandu bas menjalankan tugasnya dengan berhemah dan bertanggungjawab. Kemalangan yang melibatkan pelajar sekolah juga sering terpapar di dada akhbar. Kemalangan ini berlaku kerana bas sekolah yang dinaiki terlalu penuh sehingga menyebabkan terdapat penumpangnya terpaksa berdiri di tangga bas. Situasi seperti ini amat bahaya dan berisiko kepada berlakunya kemalangan. 3. Keselamatan penumpang terancam ~ Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pemandu bas dan teksi telah membawa padah kepada penumpang! Penumpang merasa tidak selamat untuk menggunakan perkhidmatan bas ekspres atau teksi. Sikap seperti ini juga boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Sikap tamak pemilik bas/van sekolah yang hanya mementingkan keuntungan, telah sanggaup bertindak mengancam keselamatan penumpangnya yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah. Bas/van sekolah yang dinaiki oleh pelajarpelajar ini biasanya melebihi muatan. 4. Kesesakan lalu lintas ~ Pada waktu puncak iaitu di awal pagi (7.00 hingga 8.00 pagi) dan waktu petang (4.00 hingga 6.00 petang) perkhidmatan LRT, KTMB dan Rapid K.L gagal beroperasi dengan baik. Biasanya kesesakan lalu lintas berlanjutan selama 2 hingga 3 jam ketika waktu puncak di Kuala Lumpur. 5. Jangka masa lama ~ Sebelum dilancarkan Rapid Kuantan, pengguna terpaksa menunggu perkhidmatan bas henti-henti hampir sejam. Ketibaan bas yang tidak tentu juga menyukarkan penumpang yang menggunakan khidmat bas ini. 6. Kos Bahan Api Meningkat ~ Harga petroleum yang semakin meningkat menyebabkan tambang pengangkutan awam seperti teksi, bas ekspres, bas sekolah dan van meningkat. Anggaran perbelanjaan bulanan untuk tambang bas/van sekolah ialah antara RM80 hingga RM150 bagi seorang penumpang. 7. Kenderaan lama ~ Perkhidmatan bas samada bas ekspres atau bas/ van sekolah adalah kenderaan lama yang telah berdaftar 10 hingga 15 tahun. Tempat duduk dan kondisi bas juga tidak selesa. 8. Pencemaran udara ~ Pengangkutan awam seperti bas, feri, van dan teksi menggunakan minyak diesel yang boleh mencemarkan udara. Udara dicemari dengan gas karbon monosida dan asap hitam yang berjelaga yang mencemarkan udara. 9. Pencemaran bunyi ~ Kondisi bas/van yang telah tua/lama boleh menimbulkan suasana yang membingitkan telinga dengan bunyi enjin kenderaan yang bising atau kuat! Situasi ini boleh mengganggu ketenangan penumpangnya.
Kesan Penggunaan Pengangkutan Awam Kepada Negara Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan jutaan ringgit untuk meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam darat. Pengangkutan awam ini merangkumi bas, kereta api transit, dan teksi. Pelbagai langkah telah diambil untuk menambah baik sistem ini termasuklah menambah bilangan bas dan membina aliran kereta api transit. Pelaksanaan sistem ini sememangnya memberikan kesan kepada masyarakat dan negara. Pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat dapat memudahkan masyarakat kerana dapat mengurangkan masalah kesesakan jalan raya. Masalah ini sering berlaku di bandar-bandar utama yang sibuk seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya. Punca utamanya ialah jumlah penggunaan kereta sendiri yang banyak di jalan raya. Sebagai contohnya, penggunaan kemudahan pengangkutan awam adalah sedikit jika dibandingkan dengan penggunaan kereta sendiri. Kesedaran penggunaan pengangkutan awam haruslah dipupuk sejak kecil lagi. Apabila semakin ramai pengguna menggunakan sistem pengangkutan ini, maka masalah
kesesakan jalan raya dapat dikurangkan. Hakikatnya, pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat dapat mengurangkan masalah kesesakan jalan raya. Seterusnya, ekonomi dan produktiviti negara dapat dijana merupakan satu daripada kesan pelaksanaan sistem pengangkutan awam. Hal ini dapat dilihat apabila para pekerja menggunakan pengangkutan awam ini. Melalui penggunaan pengangkutan awam, sudah tentu kerajaan mendapat keuntungan dan hasilnya, kerajaan akan membangunkan negara ini dengan menambah prasarana dan menambah baik pengangkutan awam yang sedia ada. Sebagai contoh, pekerja kilang atau pejabat dapat sampai ke tempat kerja dengan awal. Hal ini kerana ketepatan masa dan pembaziran masa tidak berlaku. Pekerja juga akan bersemangat ketika bekerja. Jelaslah bahawa ekonomi dan produktiviti negara dapat dijana melalui pelaksanaan sistem ini. Berikutnya, pencemaran udara di Malaysia dapat diminimumkan natijah daripada pelaksanaan sistem ini. Kini, kita sering mendengar bahawa pencemaran udara menjadi penyebab utama masalah kesihatan seperti asma, batuk, selsema dan lain-lain. Selain daripada pembakaran terbuka, asap kenderaan adalah faktor penyumbang kepada pencemaran udara. Sebagai contohnya, udara yang tercemar mengandungi karbon monoksida dan sulfur dioksida yang boleh menyebabkan taraf kesihatan penduduk merosot. Oleh itu, penggunaan kereta sendiri haruslah dikurangkan. Masyarakat perlulah cakna menggunakan pengangkutan awam dalam kehidupan seharian kerana dapat mengurangkan penggunaan kereta sendiri. Secara amnya, pelaksanaan sistem ini mampu meminimumkan pencemaran udara di Malaysia. Selanjutnya, kesan pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat adalah lebih mesra alam dan mesra pengguna. Hal ini sangat penting bagi menjamin kepercayaan dan kesetiaan terhadap penggunaan pengangkutan awam. Dalam era yang penuh kesibukan ini, pengangkutan awam sememangnya menjadi pilihan rakyat yang bekerjaya. Pengangkutan awam adalah mesra alam kerana menggunakan tenaga elektrik untuk beroperasi seperti transit aliran ringan (LRT). Pengangkutan awam juga mesra pengguna kerana pengguna tidak perlu memandu. Pengguna hanya perlu duduk dan boleh melakukan perkara lain seperti membaca buku, makan dan sebagainya. Tuntasnya, pengangkutan awam adalah lebih mesra alam dan pengguna. Selain itu, pelaksanaan sistem ini memberikan kesan iaitu mampu memberikan keselesaan kepada para pengguna pengangkutan awam. Pengguna yang berasa selesa menggunakan pengangkutan awam akan menggunakannya pada masa hadapan. Keselesaan yang dimaksudkan ialah tempat duduk dalam kenderaan awam yang banyak, penggunaan penghawa dingin dalam pengangkutan awam, ruang menunggu yang selesa seperti di terminal LRT dan sebagainya. Sebagai contoh, kita akan lebih suka memilih perkhidmatan yang selesa berbanding yang sebaliknya. Oleh itu, transformasi sistem pengangkutan awam yang dilakukan sememangnya akan menarik lebih ramai lagi orang awam untuk menggunakannya. Tuntasnya, pelaksanaan sistem ini sememangnya memberikan kesan. Akhir sekali, pelaksanaan sistem ini menjadikan negara kita mempunyai bandar-bandar yang selesa dan sesuai untuk didiami. Hal ini demikian kerana mempunyai sistem pengangkutan yang mudah. Sistem pengangkutan awam darat ini mampu menghubungkan penduduk bandar dengan luar bandar sekaligus memajukan kawasan luar bandar. Sebagai contohnya, penduduk luar
bandar yang ingin ke bandar atas urusan pekerjaan boleh berulang-alik ke kampung halaman tanpa halangan. Kemudahan ini sememangnya menjadikan Malaysia unik kerana penduduk luar bandar tidak dipinggirkan dari pembangunan negara. Jelaslah bahawa pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat memberikan kesan kepada masyarakat. Keseluruhannya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam menjadikan sistem pengangkutan awam darat menjadi pilihan utama. Segala penambahbaikan seperti menyediakan kawasan khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah digalakkan bagi memenuhi keselesaan pengguna. Pihak kerajaan haruslah peka dalam memajukan sistem pengangkutan awam darat agar setanding dengan sistem pengangkutan awam darat negara luar.
Usaha kerajaan bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam 1.
Menyelaras kapasiti sistem yang sudah mencapai hadnya.
i) Meningkatkan kapasiti KTM Komuter dan LRT sebanyak 1.7 sehingga 4 kali ganda (bergantung kepada laluan tertentu.) ii) Penambahan 22 set tren empat gerabak baru sistem transit aliran Kelana Jaya. Selain gerabak berganda, ciri-ciri tambahan terdapat pada gerabak ini ruang khas untuk penumpang berkerusi roda yang dilengkapi tali pinggang keselamatan. Terdapat juga lampu amaran di pintu untuk golongan kurang upaya pendengaran serta tingkap kecemasan. iii) Pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan iv) Laluan bas merentasi 12 koridor utama di Lembah Klang akan diperkenalkan secara berperingkat. Perkhidmatan melalui 12 koridor dapat menampung 35,000 sehingga 55,000 penumpang semasa waktu puncak pagi atau 6% sehingga 9% jumlah bilangan pengguna pengangkutan awam pada tahun 2012 v) Naik taraf 634 perhentian bas di Sepang, Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Selayang, Ampang Jaya dan Kajang. vi) 850 buah bas akan ditambah. Ini dapat meningkatkan perkhidmatan yang disediakan di laluan sedia ada dan memberi perkhidmatan kepad 53 laluan baru yang tidak mendapat perkhidmatan ketika ini. 2. Merangsang permintaan bagi menarik rakyat menggunakan pengangkutan awam i Memperkenalkan konsep 1Tiket 1Perjalanan iii Menambah kira-kira 6,800 tempat meletak kereta baru di 14 stesen rel utama, di luar kawasan pinggir pusat bandar utama pada tahun 2012 iv Mempertingkatkan perkhidmatan bas pengantara ke stesen rel dan menaik taraf stesen serta terminal yang mempunyai bilangan trafik yang tinggi. v Menyediakan sistem IT bersepadu secara menyeluruh vi. Pelaksanaan penguatkuasaan merentasi semua agensi penguatkuasaan utama adalah diperlukan untuk 10 pihak berkuasa tempatan (PBT), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), JPJ dan PDRM. 3
Menghalang kenderaan berat dari memasuki Kawasan Perniagaan Pusat.
i Tiga terminal pengangkutan bersepadu (ITT) utama di luar bandar akan diwujudkan dan dimulakan dengan ITT Bandar Tasik Selatan. ii Di pusat bandar pula akan wujud dua jenis pusat pengangkutan awam iaitu Terminal Antara Bandar dan Hentian Akhir Bandar (HAB). Terminal Antara Bandar di Pasarama Kota, Hentian Putra dan Pudu memudahkan aliran lalu-lintas daripada kawasan pinggir bandar ke pusat bandar. 4.
Penyusunan semula Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
i Memastikan pengangkutan Awam Darat (SPAD) beroperasi sepenuhnya. Ini kerana satu prasyarat kejayaan mewujudkan satu badan yang bertanggungjawab bagi perancangan dasar dan pemantauan kawalsedia. Ii 13 Kementerian dan pelbagai agensi terlibat aspek pengurusan pengangkutan awam yang berbeza dan tiada satu badan yang menyelaraskan usaha merentasi pelbagai sistem pengangkutan awam secara keseluruhan. 5.
Menguruskan permintaan melalui faktor tolakan (push)
i Apabila penggunaan pengangkutan awam melebihi 25% dan sistem perkhidmatan pengangkutan awam telah ditambahbaik, masa perjalanan ditepati, keselesaan dipertingkat, Inisiatif meningkatkan daya tarikan relatif pengangkutan awam iaitu daripada pengguna kenderaan persendirian akan dipercepat. Usaha Memperbaiki Sistem Pengangkutan Awam “Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam. Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepaduyang dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti Melbourne, di negara Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur
pejalanan laluan. Jikalau sistem tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali. Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat meningkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan pengangkutan yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan keseluruhan. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kekerapan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengakutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapat balik keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam. Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangancinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi yang terbaharu dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi tabiat rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang. Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikansejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja diberi kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberi kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam di dalam hati mereka. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki
kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam mendalam kepada mereka. Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu destinasi dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan penumpang menaiki pengangkutan awam. Usaha Meningkatkan Kualiti Pengangkutan Awam -Kerajaan perlu meningkatkan kualiti pengangkutan awam di Malaysia dengan mewujudkan pasukan pengurusan yang mantap dan dinamik -Kerajaan perlu memperbanyak pengangkutan awam bagi menampung permintaan pengguna yang tinggi terutama di bandar-bandar utama -Kerajaan perlu menyediakan sistem pengangkutan awam yang tidak memerlukan masyarakat bertukar rangkaian pengangkutan awam beberapa kali untuk sampai ke destinasi -Kerajaan perlu memikirkan cara yang mudah untuk masyarakat membeli tiket pengangkutan awam seperti menyediakan sistem membeli tiket secara berpepadu -Kerajaan perlu menetapkan harga tiket yang murah atau mampu dibeli oleh pengguna supaya tidak membebankan pengguna terutama yang berpendapatan rendah -Sistem Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu membuat kajian secara menyeluruh tentang permasalahan yang dialami oleh pengguna pengangkutan awam bagi meningkatkan perkhidmatan sistem pengangkutan awam -Pengusaha pengangkutan awam perlu memastikan jadual kekerapan perjalanan dan masa ketibaan menepati jadual yang dirancang supaya pengguna tidak membazirkan masa mereka -Pengusaha pengangkutan awam perlu meningkatkan kualiti perkhidmatansyarikat enderaan mereka dengan meletakkan televisyen dan radio supaya pengguna tidak berasa bosan apabila menaiki kenderaan mereka -Pengusaha pengangkutan awam perlu memasang sistem perakam kamera pada kenderaan masing-masing untuk merakam pemandu yang tidak berdisiplin dan melanggar peraturan jalan raya -Pengusaha pengangkutan awam perlu memikirkan kemudahan pengguna meletakkan kenderaan mereka sebelum menggunakan pengangkutan awam supaya tidak mengganggu lalu lintas sehingga boleh menyebabkan lalu lintas -Pengusaha pengangkutan awam perlu memastikan keselamatan kenderaan yang ditinggalkan oleh pengguna yang menggunakan pengangkutan awam mereka untuk memberi keyakinan kepada pengguna terhadap pengangkutan awam -Media massa perlu menguar-uarkan kempen menggunakan pengangkutan awam di Malaysia untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas -Masyarakat perlu menyahut saranan kerajaan supaya menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja bagi mengelakkan pertambahan kenderaan di atas jalan raya sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak -Pihak sekolah perlu memberi penerangan kepada pelajar-pelajar tentang kepentingan menggunakan pengangkutan awam seperti dapat mengelakkan
kemalangan jalan raya, dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas dan dapat mengurangkan pencemaran udara melalui pembebasan asap daripada kenderaan
Kepentingan Pengangkutan Awam Kepada Negara Kita Dalam Bajet Tahun 2011, Perdana Menteri memangku Menteri Kewangan telah membentangkan bahawa Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) akan dibina bermula pada tahun hadapan dan dijangka akan siap sebelum tahun 2020. Belanja untuk membina sistem MRT dianggar akan mencecah RM 40 bilion. Senario ini memanifestasikan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam di negara kita. Setakat ini hanya kira-kira 32% pengguna jalan raya tempatan menggunakan pengangkutan awam manakala di negara maju seperti Jepun dan negara-negara Eropah lebih daripada 70% pengguna jalan raya ialah penumpang pengangkutan awam. Dalam konteks ini, pengangkutan awam merupakan unsur utama bagi penduduk bandar-bandar besar di dunia. Untuk mencapai negara maju, semua pihak perlu sedar akan kepentingan pengangkutan awam kepada negara kita. Kita sedia maklum bahawa salah satu kemaslahatan pengangkutan awam adalah dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, terutamanya di bandar-bandar besar terutama di Lembah Klang seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam. Kesesakan lalu lintas merupakan duri dalam daging dan mimpi ngeri kepada penduduk bandar. Ketika pergi ke atau balik dari pejabat, mereka terpaksa berjam-jam di jalan raya akibat kesesakan lalu lintas. Sehubungan dengan itu, peningkatan mutu perkhidmatan pengangkutan awam dapat menarik lebih banyak penumpang sehingga penggunaan kenderaan sendiri akan berkurangan di jalan raya. Secara tidak langsung, kesesakan lalu lintas dapat diminimumkan. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa perlu menetap lintasan khas sebagai laluan kenderaan awam seperti bas dan teksi. Alat pengangkutan awam yang tidak mengalami kesesakan lalu lintas dapat menarik pengguna untuk menggunakan pengangkutan awam. Walhasilnya, pembangunan dalam sistem pengangkutan awam di tanah air dapat membendung kesesakan lalu lintas yang semakin kronik. Selain itu, pengangkutan awam yang bermutu turut memperkasakan industri pelancongan. Di rantau Asia Tenggara ini, industri pelancongan negara kita masih ketinggalan berbanding dengan negara Thailand dan Singapura. Salah satu sebab ialah pengangkutan awam di Bangkok dan Singapura sangat canggih dan memudahkan pelancong ke sesuatu destinasi. Sebaliknya sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur masih belum mencapai taraf negara maju. Di Hong Kong, Singapura dan Taiwan, penumpang hanya perlu membeli sekeping Kad Penumpang untuk menaiki MRT, bas malah Feri. Sistem pengangkutan yang canggih, selesa, mesra , bersih dan selamat dapat memberikan imej yang baik kepada pelancong ke negara kita. Malangnya, bas ekspres dan bas persiaran di negara kita sering terlibat dalam kemalangan yang dahsyat. Tambahan pula, sesetengah pemandu teks yang biadab dan meminta tambang yang berlebihan akan menjejaskan industri pelancongan di negara kita. Tegasnya, pengusaha pengangkutan jalan raya tanah air kita perlu meningkatkan mutu perkhidmatan
mereka kerana perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti dapat mendorong industri pelancongan negara kita. Lebih-lebih lagi, sistem pengangkutan awam yang baik dapat menjanakan pembangunan ekonomi negara. Tanpa disedari bahawa pengangkutan awam yang berkualiti dapat meningkatkan produktiviti negara. Hal ini demikian kerana pekerja dapat sampai di pejabat atau kilang tanpa lewat dengan adanya sistem pengangkutan yang menepati jadual waktu. Saban hari banyak orang lewat ke medan kerja kerana mengalami kesesakan lalu lintas. Hal ini merupakan satu pembaziran kerana para pekerja telah letih dan penat setelah tiba di tempat kerja. Jika negara kita memiliki sistem pengangkutan yang canggih terutamanya MRT, LRT, Komuter dan sebagainya, pekerja kita dapat sampai di destinasi tempat kerja dengan cepat dan tepat pada masa. Nescaya, mereka lebih bersemangat dan memiliki daya produktiviti yang lebih tinggi. Daya pengeluaran yang tinggi dapat memangkinkan pembangunan ekonomi negara supaya negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju. Garagaranya, pengangkutan awam yang canggih berkait rapat dengan produktiviti negara . Tambahan pula, pembangunan sistem pengangkutan awam dapat meminimumkan pencemaran udara di negara kita. Beberapa dasawarsa ini, kualiti udara negara kita semakin merosot sehingga negara kita dilanda jerebu. Salah satu faktor utama adalah kenderaan di jalan raya semakin banyak. Atas promosi pengeluar automobil dan syarikat kewangan, rakyat suka memiliki kenderaan sendiri. Mereka tidak suka menggunakan pengangkutan awam. Sesungguhnya rakyat kita perlu dicelikkan supaya menyedari bahawa menaiki pengangkutan awam merupakan tindakan mesra alam. Jika orang ramai menggunakan perkhidmatan bas, LRT dan sebagainya, kenderaan yang ada di jalan raya akan berkurangan sehingga asap yang mengandungi toksik dapat dikurangkan terutama karbon monoksida, sulfur dioksida dan lain-lain lagi. Ternyata, pengangkutan awam yang canggih lebih mesra alam, khasnya MRT yang akan dibina. Natijahnya, orang ramai perlu digalakkan supaya menaiki pengangkutan awam untuk meningkatkan kualiti alam sekitar kita. Secara tuntasnya, sudah terang lagi bersuluh, pengangkutan awam yang berkualiti merupakan elemen yang penting untuk menjamin pembangunan negara kita. Sehubungan itu pihak berkuasa dan pengusaha pengangkutan awam perlu bersinergi bagai aur dengan tebing untuk memartabatkan mutu pengangkutan awam di tanah air kita. Sistem pengangkutan yang canggih dapat menjanakan pembangunan negara kita ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.